Rezal Zambery dilantik penolong ketua jurulatih Kelantan FC
BEKAS pemain kebangsaan Rezal Zambery Yahya dilantik penolong ketua jurulatih Kelantan FC berkuat kuasa hari ini bagi menghadapi baki saingan Liga Premier pada musim ini.
The Red Warriors (TRW) Kelantan FC dalam kenyataan menerusi laman Facebook pasukan memaklumkan pengurusan tertinggi telah memilih Rezal Zambery untuk memikul tugas sebagai pembantu kepada jurulatih Marco Ragini berdasarkan pengalaman yang dimilikinya.
“Rezal Zambery yang pernah bermain bersama Kelantan FA pada 2001 juga memiliki lesen kejurulatihan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kelas 'A',” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Rezal Zambery yang berusia 48 itu berkata, Kelantan FC yang dibarisi pemain muda berpotensi dan berkeyakinan tinggi mampu untuk melakar kejayaan.
“Semoga segala pengalaman dan ilmu yang saya miliki dapat dicurahkan kepada TRW Kelantan FC,” katanya.
Selepas sembilan perlawanan, Kelantan FC kini berada di tangga kelima carta Liga Premier dengan mengumpul 14 mata hasil daripada empat kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!