Wanita maut dalam kemalangan lima kenderaan

Kemalangan membabitkan lima kenderaan di kawasan lampu isyarat Bypass Temenggong Ahmad Jalan Pintasan, Muar pada Ahad.
Kemalangan membabitkan lima kenderaan di kawasan lampu isyarat Bypass Temenggong Ahmad Jalan Pintasan, Muar pada Ahad.
A
A
A

MUAR - Seorang wanita maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di kawasan lampu isyarat Temenggong Ahmad, Jalan Pintasan di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kemalangan jam 7.45 pagi itu melibatkan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, kereta Perodua Myvi, kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina, van Econovan dan Toyota Hiace.

"Siasatan awal mendapati Toyota Hilux dari arah Parit Jawa menghala ke bandar Muar. Apabila sampai di lampu isyarat Temenggong Ahmad, pacuan empat roda itu dipandu laju dan tidak berhenti semasa lampu isyarat merah.

"Toyota Hilux melanggar Perodua Myvi tersebut yang baru bergerak setelah lampu isyarat hijau dari arah Jalan Abdul Rahman. Ekoran kemalangan itu Toyota Hilux terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

"Toyota Hilux itu melanggar Nissan Grand Livina, Econovan dan Toyota Hiace tersebut. Pemandu Perodua Myvi, Norain Abu Samah, 41, cedera di bahagian kepala dan luka-luka seluruh anggota badan sebelum maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, penumpang Perodua Myvi, Nur Nabila Alisha Mohd Zalisham, 19, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dengan menaiki ambulans.

Menurutnya, pemandu Toyota Hilux, Gui Chui, 69, cedera di kepala, kaki dan luka-luka di seluruh badan dan dirawat di HPSF, manakala pemandu Nissan Grand Livina dan Toyota Hiace tidak cedera.

"Pemandu van Econovan pula yang dipercayai warganegara asing melarikan diri. Punca kemalangan kerana tidak berhenti semasa lampu isyarat merah dan memandu dengan kelajuan yang tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!