'Pelantikan timbalan menteri bukan demi survival politik'

Guan Dee
Guan Dee
A
A
A

KOTA KINABALU - Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi menegaskan bahawa pelantikannya sebagai timbalan menteri persekutuan bukan semata-mata untuk survival politik, sebaliknya untuk menyumbang kepada industri pelancongan negara.

Beliau berkata, dakwaan pihak lain berhubung pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai survival politik hanyalah pendapat peribadi.

"Itu pendapat dia (Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman). Kita mempunyai pendapat yang berbeza.

"Peranan kita di sini bukan semata-mata untuk parti politik kita, survival kita, tetapi kita adalah penyumbang kepada industri pelancongan ini," katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri sesi ramah mesra Menteri MOTAC bersama media pada malam Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Syed Saddiq sebelum ini yang mengatakan pelantikannya itu sebagai survival politik bagi kerajaan.

Guan Dee berkata, tidak sepatutnya timbul pertikaian mengenai pelantikannya itu dan ia adalah sebagai mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Presiden parti, Datuk Seri Dr Jeffry Kitingan sebelum ini.

"Kami adalah rakan PN sejak penubuhan kerajaan pada Mac 2020. Kami diberikan jawatan sebagai Timbalan Menteri MOTAC dan pada ketika itu yang menjawatnya adalah Presiden STAR. Namun beliau kemudian meletakkan jawatan kerana dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah serta Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September lalu.

"Jawatan itu dikhaskan atau kuota untuk STAR. Tetapi kita hanya mempunyai seorang ahli Dewan Rakyat saja, maka saya dilantik sebagai Senator pada 16 Disember 2020 dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri MOTAC pada 16 April lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!