Kerajaan digesa teliti semula bantuan veteran tentera
KUANTAN - Pertubuhan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PKVTTB) Pahang meminta kerajaan meneliti bantuan dan imbuhan sewajarnya untuk kebajikan ahli.
Yang Dipertuanya, Mohd Sani Ishak berkata, empat perkara yang perlu dipertimbang dan disegerakan sebagai usaha membela nasib golongan tersebut.
Menurutnya, kerajaan diminta agar menaikkan imbuhan tahunan kepada RM2,500 setahun berbanding RM1,200 yang diterima sekarang.
Katanya, jumlah yang dicadangkan itu dianggap wajar berdasarkan kepada kos sara hidup yang makin meningkat sekarang.
“Kami juga meminta kerajaan naikkan elaun sara hidup RM300 yang diterima ahli kini kepada RM500.
“Selain itu kita cadangkan agar veteran yang menamatkan perkhidmatan selepas berkhidmat dalam tempoh 10 hingga 19 tahun terutama ketika zaman darurat turut menerima elaun sara hidup bagi menampung keperluan hidup mereka.
“Pengorbanan dan jasa mereka kepada negara cukup besar ketika berjuang menentang pengganas komunis justeru, sewajarnya golongan ini dipertimbangkan elaun setimpal,”katanya.
Beliau berkata, untuk elaun sara hidup bagi golongan berkenaan, dicadangkan jumlahnya RM700 sebulan.
“Kerajaan juga diminta agar mempertimbangkan bantuan kepada ahli yang terlantar sakit atau menghidap penyakit kronik dengan menyediakan bantuan bulanan sebanyak RM750 sebulan.
"Bantuan kewangan itu penting kerana ada di kalangan mereka terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan dan lampin pakai buang akibat penyakit dihidapi.
“Dengan adanya bantuan secara bulanan, ia dapat meringankan beban mereka dan keluarga untuk menyediakan keperluan tersebut yang memerlukan kos agak tinggi,”katanya.
Mohd Sani berkata, PKVTTB Pahang prihatin dengan nasib ahli justeru, pihaknya memberi fokus kepada beberapa aktiviti ekonomi dalam usaha memperkasakan bidang keusahawanan dalam kalangan ahlinya.
“Usaha itu bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan bagi meningkatkan taraf hidup ahli dan mereka yang berjaya nanti dapat menyumbang balik kepada pertubuhan.
“Sebagai veteran tidak berpencen, mereka tidak ada sumber pendapatan atau imbuhan tetap justeru, persatuan mengambil inisiatif menjalankan program keusahawanan untuk meningkatkan taraf ekonomi ahli,”katanya.
Bagaimanapun katanya, sekiranya kerajaan mempertimbangkan bantuan sewajarnya secara tetap, ia lebih membantu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!