Atasi ujian dengan ibadat puasa

No Image Caption
A
A
A

SYUKUR kepada ALLAH SWT, kita masih berada dalam bulan Ramadan yang berkat ini dan masih dapat meneruskan ibadat puasa yang banyak sekali kelebihannya, walaupun dalam masa sama kita masih berdepan dengan ujian global, pandemik Covid-19.

Biarpun diuji dengan kehadiran virus itu namun kita masih tetap dapat meneruskan ibadat kita kepada ALLAH SWT.

Ujian dan dugaan merupakan fenomena biasa yang dihadapi oleh semua manusia di atas dunia ini. Dalam surah al-Baqarah ayat 155, ALLAH SWT memberikan peringatan bahawa ALLAH akan menguji hamba-hamba-Nya dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan jiwa dan buah-buahan. Dugaan dunia hanyalah kecil dibandingkan dengan dugaan di akhirat nanti.

Perutusan ALLAH ini mengandungi maksud yang tinggi supaya manusia sentiasa bersabar dalam menghadapi dugaan dan cabaran, dan dalam masa sama, manusia haruslah berusaha mengatasi cabaran dan dugaan itu dengan penuh iman dan taqwa kerana manusia hanya akan mendapat hasil daripada usahanya yang direstui oleh ALLAH SWT.

Dalam konteks semasa ketika menghadapi pandemik Covid-19 ini, kita sering terbaca beberapa berita yang agak mengganggu pemikiran seperti perbuatan yang bercanggah dengan dasar moral dan etika, termasuk perbuatan melanggar perintah dan peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang di rangkakan untuk mengelak jangkitan kuman yang membunuh manusia.

Malah manusia juga mengambil kesempatan melakukan jenayah dan penipuan, merogol, menyeksa anak dan sebagainya dalam masa yang cemas ini.

Dalam menghadapi ujian ini, maka Islam memberikan panduan yang terbaik, termasuk dalam bidang kerohanian dan keduniaan bagi manusia untuk berusaha menghadapi ujian hidup ini.

Renungilah umpamanya amanah ALLAH SWT yang di sebutkan dalam Surah al-Ankabut (29) ayat 2 ketika ALLAH mengemukakan persoalan “Patutkah menusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ‘Kami beriman’ sedangkan mereka tidak di uji dengan sesuatu percubaan?” iaitu ujian akan dikenakan kepada orang yang beriman dan tidak beriman.

Artikel Berkaitan:

Dalam Surah al-Dukhan (44) ayat 33, ALLAH menjelaskan tentang sikap Bani Israel yang menentang Nabi Musa dengan firman-Nya: “Dan Kami berikan kepada mereka, berbagai-bagai mukjizat yang mengandungi ujian yang jelas nyata (untuk melahirkan sikap mereka).”

Mukjizat ALLAH yang diberikan kepada mereka, termasuk peristiwa terbelahnya lautan untuk mereka melintasi lautan yang dalam ketika mereka dikejar oleh Firaun dan tenteranya, naungan awan dan pemberian makanan semasa mereka merayau dan sesat di padang pasir Sinai dan lain-lain lagi, untuk menguji mereka adakah mereka bersyukur atau mendurhaka dan kufur ingkar kepada ALLAH SWT.

Kekuatan

Oleh itu kekuatan jiwa dan akal, ilmu pengetahuan dan daya usaha manusia haruslah diusahakan dengan sebaik-baiknya dalam amal ibadat untuk mendapat ganjaran dan petunjuk dunia dan akhirat, serta melatih diri untuk mengatasi ujian itu.

Ibadat puasa amat banyak memberikan kekuatan kepada umat Islam dengan syarat ibadat ini perlu dilakukan dengan penuh kesedaran dan penghayatan bagaimana cara manusia seharusnya berjuang untuk menegakkan integriti mereka dengan menentang kehendak hawa nafsu yang sia-sia.

Kajian yang dilakukan oleh para ahli perubatan juga menunjukkan bahawa ibadat puasa yang dijalankan dengan sewajarnya akan membantu kesihatan diri seperti sistem pencernaan, organ pankreas, hempedu dan sebagainya.

Panduan berpuasa yang baik juga haruslah dipelajari daripada mereka seperti kadar minuman air bergula, makanan yang sewajarnya bagi mengurangkan obesiti dan sebagainya.

Ramadan adalah bulan yang amat istimewa dan peluang untuk seluruh umat Islam mencari ganjaran pahala yang berlipat kali ganda sepanjang berpuasa.

Dalam menunaikan ibadat puasa, penumpuan umat Islam ialah untuk mendapat ganjaran daripada ALLAH yang berganda-ganda dan manusia juga harus menggunakan hikmah ini untuk kesejahteraan hidupnya di dunia dan di akhirat.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!