Jangan balik kampung

No Image Caption
A
A
A

SUDAH hampir dua minggu Ramadan berlalu namun kes positif Covid-19 masih belum berkurang, malah semakin meningkat di beberapa negeri terutamanya Kelantan.

Suatu ketika sebelum ini, Kelantan merupakan antara negeri yang sangat sedikit kes positif.

Walaupun sebahagian besar kes merupakan jangkitan dalam komuniti, antara penyumbang utama ialah mereka yang balik kampung.

Mungkin ada yang datang ke Kelantan atas faktor kerja tetapi mengambil kesempatan untuk turut hadir ke kenduri kahwin, kenduri arwah atau apa-apa majlis sosial dan keramaian.

Teringat ketika bersekolah di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi lebih 30 tahun yang lepas.

Setiap kali menjelang akhir Ramadan, sebelum bercuti dan pulang ke rumah masing-masing, pelajar junior akan dikumpul oleh para senior bagi membuat persembahan.

Setiap seorang harus menyanyi lagu raya. Antara lagu kegemaran ialah Balik Kampung.

Masing-masing sudah terbayangkan kampung halaman sendiri ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Saya yang tidak menyambut hari raya turut tidak sabar untuk pulang ke kampung.

Masing-masing sudah ada sama ada tiket bas atau tiket keretapi, manakala pelajar dari Sabah dan Sarawak pula akan balik dengan kapal terbang Charlie milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Satu lagi lagu yang agak top ketika itu ialah lagu raya EON yang dinyanyikan oleh Raja Ema dan Jamal Abdillah. Antara liriknya, “Berhati-hati di jalan raya, Semoga anda selamat tiba, Kunjungi teman sanak saudara, Bersama gembira di hari raya.”

Bagaimanapun, sebagaimana tahun lepas, tahun ini juga sekatan rentas negeri masih diteruskan bagi menghalang pergerakan balik kampung untuk menyambut Aidilfitri.

Ia adalah satu keputusan yang sukar bagi pihak kerajaan tetapi itulah yang terbaik buat masa ini.

Saya teringat seorang sahabat yang kehilangan ayahanda tercinta akibat Covid-19.

Arwah mendapat jangkitan dari surau yang sering dia kunjungi setiap kali solat fardu.

Dia tidak pergi ke mana-mana pun kecuali rumah dan surau kerana faktor kesihatan yang tidak mengizinkan walaupun belumlah berusia sangat. Sahabat saya juga tidak keluar dari Kelantan.

Tetapi, oleh kerana perantau dari Lembah Klang yang pulang membawa ‘buah tangan’ yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini, sahabat saya kehilangan ayahandanya.

Memang sangat menyedihkan; walaupun ketika tenat di hospital, tetap tiada pelawat dibenarkan. Acara pengebumian juga tidak dapat dihadiri. Ayahanda sahabat saya pergi begitu sahaja. Kali terakhir mereka bersama ketika ambulans datang menjemput.

Inilah sebab utama kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun PKP Bersyarat atau PKP Pemulihan.

Bukannya untuk menyeksa rakyat tetapi demi menjaga nyawa rakyat sendiri terutama mereka yang berusia atau mempunyai penyakit kronik. Ya, mungkin kita rasa kita sihat, kita masih muda, dapat Covid-19 pun tidak ada apa-apa selain gejala kecil. Ada yang langsung tiada gejala.

Namun kita harus berfikir. Kita mungkin menyebarkan virus kepada orang lain tanpa sedar dan yang paling penting, tindakan kita mungkin mengorbankan nyawa orang lain.

Katil-katil di hospital serta ICU sudah dihuni sepenuhnya. Penggunaan sudah mencapai tahap maksimum.

Alat-alat bantuan pernafasan juga sudah hampir semua digunakan. Oleh itu, tolonglah jangan balik kampung jika tiada keperluan mendesak seperti yang ditetapkan kerajaan.

Sayangilah diri dan keluarga anda, juga sahabat anda dan keluarga mereka di kampung.

*Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!