Dua rakan maut dipanah petir
TEMERLOH - Aktiviti lima rakan memancing ikan bertukar tragedi selepas dua daripada mereka maut dipanah petir ketika berada di Kolam Ikan Empang Kampung Cempaka, Lanchang pada petang Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, mangsa, Muhammad Farhan Zainal Abidin, 20 dari Kampung Rantau Panjang, di sini dan Muhammad Fitri Fahmy Hashim, 27, dari Jalan Setia, Lanchang meninggal dunia akibat kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4 petang daripada pembantu perubatan Klinik Kesihatan (KK) Lanchang.
Menurutnya, mangsa bersama tiga lagi rakannya berusia antara 22 hingga 47 tahun pergi ke kolam memancing tersebut kira-kira jam 12.30 tengah hari.
"Sebelum kejadian, dua mangsa terbabit dikatakan berteduh di bawah pokok di tepi kolam itu ketika hujan lebat disusuli dengan petir.
"Seorang rakan mereka pula balik ke rumah untuk mengambil telefon bimbit yang tertinggal," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Ujarnya lagi, dua lagi rakan mengambil joran untuk pulang sebelum melihat kedua-dua mangsa rebah dan dipercayai pengsan.
"Mereka terus membawa mangsa ke KK Lanchang namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan
"Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk dibedah siasat," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!