Gelombang kedua Covid-19 di India dijangka memuncak pertengahan Mei
NEW DELHI - Gelombang kedua pandemik Covid-19 di India diramal mencapai tahap puncak pada pertengahan Mei, lapor Agensi Berita Xinhua memetik media tempatan pada Ahad.
Unjuran yang dibentangkan dalam mesyuarat antara Perdana Menteri, Narendra Modi dan ketua menteri dari negeri paling teruk terjejas menunjukkan selepas Maharashtra, Gujarat dan New Delhi, Uttar Pradesh bakal menjadi satu lagi titik panas dengan lebih 190,000 kes baharu dilaporkan setiap hari.
Kes Covid-19 harian di negara Asia itu dijangka meningkat menjadi 500,000 dan beransur reda antara Jun dan Julai.
Ramalan itu disampaikan seorang pegawai kanan kerajaan Persekutuan pada mesyuarat berkenaan, dengan pegawai bersetuju "negeri-negeri yang berpenduduk padat terdedah kepada risiko; dan, infrastruktur kesihatan di negeri-negeri tidak cukup untuk menangani senario serius ketika ini."
Uttar Pradesh dianggarkan mengalami kekurangan sekitar 16,752 katil hospital dengan bekalan oksigen, 3,061 katil unit rawatan rapi, dan sekurang-kurangnya 1,538 ventilator.
Jumlah jangkitan terus meningkat di India setiap hari, kerajaan Persekutuan telah memutuskan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya untuk membendung keadaan yang semakin buruk.
Pada Ahad kes Covid-19 mencecah 16,960,172 dengan 349,691 kes baharu direkodkan dalam 24 jam, hari keempat berturut-turut lebih 300,000 kes didaftarkan dalam sehari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!