Lari tinggalkan mercun dalam kebun getah
RANTAU PANJANG - Sekumpulan penyeludup yang sedang leka memunggah guni-guni berisi mercun bertempiaran lari meninggalkan barangan itu di dalam kebun getah berhampiran pangkalan haram Salleh Berek sebaik sahaja kegiatan haram itu dihidu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa rondaan rutin dilakukan di kawasan tersebut, anggota pasukan itu telah melihat sekumpulan lelaki sedang memunggah guni-guni putih dan kotak-kotak ke dalam sebuah kereta jenis Honda Accord.
"Sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak PGA, kumpulan lelaki tersebut telah bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu dengan menyeberangi Sungai Golok," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Bagaimanapun katanya, salah seorang lelaki bertindak melarikan diri dengan Honda Accord tersebut bagi mengelak dicekup anggota PGA.
Beliau berkata, pemeriksaan awal di lokasi menjumpai guni-guni putih dan kotak-kotak yang ditinggalkan oleh kumpulan itu.
Azhari berkata, kesemua barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtam) dan pemeriksaan lanjut menemui pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM22,595.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!