Helikopter mini terbang kali ketiga di Marikh

Gambar fail menunjukkan helikopter mini Ingenuity mendarat di planet Marikh. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan helikopter mini Ingenuity mendarat di planet Marikh. - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Helikopter mini Ingenuity milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), berjaya membuat penerbangan ketiga di planet Marikh pada Ahad dengan bergerak lebih jauh dan laju berbanding dua penerbangan sebelum ini.

Dalam penerbangan kali ini, Ingenuity bergerak sejauh 50 meter dengan kelajuan dua meter setiap saat.

"Penerbangan pada hari ini (Ahad) adalah apa yang kami telah rancang dan ia bukannya sesuatu yang mengagumkan," kata Dave Lavery iaitu eksekutif program projek Ingenuity seperti dilaporkan oleh AFP.

Kenderaan robotik Perseverance yang membawa helikopter mini itu ke Marikh dari Florida, AS turut merakamkan penerbangan ketiga itu selama 80 saat.

Menurut NASA, rakaman video yang menunjukkan Ingenuity terbang akan dihantar ke Bumi dalam tempoh beberapa hari lagi.

Helikopter itu sebelum ini membuat penerbangan pertama pada 19 April lalu dan melakukan penerbangan kedua pada Isnin minggu lalu.

Agensi angkasa milik AS itu turut mengumumkan helikpoter tersebut akan terbang buat kali keempat.

Ingenuity akan menamatkan misinya dalam dalam tempoh sebulan sebelum kenderaan robotik itu memulakan tugas utamanya iaitu mencari tanda-tanda kehidupan mikrob di Marikh.

Artikel Berkaitan:

Kenderaan robotik Perseverance yang membawa helikopter itu mendarat di planet tersebut pada 16 Februari lalu selepas berlepas dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Forida, AS dengan roket Atlas V-541 pada 30 Julai tahun lalu. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!