Tukang kebun maut langgar babi
JEMPOL - Seorang tukang kebun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan seekor babi di Kilometer 6 Jalan Bahau-Juasseh di sini pada Isnin.
Dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, mangsa lelaki Lee Khen On berusia 63 tahun maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superitendan Hoo Chang Hook berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Bahau menghala ke Juasseh, Kuala Pilah.
"Namun sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melanggar seekor babi yang melintas mengakibatkan mangsa terjatuh.
"Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bahau yang membuat pemeriksaan terhadap mangsa di lokasi," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!