PPAT kali ke-4 jadi lokasi utama World #QuranHour Terengganu

PPAT sekali lagi menjadi lokasi utama program World #QuranHour yang dijadualkan berlangsung selama satu jam secara serentak pada 6 Mei depan.
PPAT sekali lagi menjadi lokasi utama program World #QuranHour yang dijadualkan berlangsung selama satu jam secara serentak pada 6 Mei depan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) sekali lagi menjadi lokasi utama program World #QuranHour yang dijadualkan berlangsung selama satu jam secara serentak, pada 6 Mei depan.

Setiausaha RumahNgaji Terengganu, Wan Nur Aziemah Wan Mohd Azmi berkata, ini merupakan tahun keempat PPAT dijadikan lokasi utama World #QuranHour sejak ia dilaksanakan di negeri ini lima tahun lalu.

“Berikutan pandemik Covid-19, kita jangkakan kehadiran hanya sekitar 100 orang sahaja dan program diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya.

Wan Nur Aziemah berkata, selain PPAT, program alunan bacaan Al-Quran juga akan turut berkumandang di beberapa hotspot lain seluruh Terengganu seperti perpustakaan daerah, masjid dan sekolah-sekolah.

Katanya, beberapa agensi seperti Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu juga bersetuju mengadakan kempen ini.

“Bacaan Al-Quran di agensi-agensi ini akan dibuat secara kelompok kecil mengikut jabatan manakala di daerah pula diadakan di lokasi masing-masing. Kita mahu semua patuh dengan SOP ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Nur Aziemah berkata, kali ini surah al-Mulk yang bermaksud kerajaan menjadi surah pilihan bagi World #QuranHour dan pemilihan itu mengambil kira situasi semasa yang melanda negara dan juga dunia.

“Pemilihan surah al-Mulk sebagai tema dan fokus, membawa kita kembali kepada penyerahan mutlak terhadap kekuasaan kerajaan Allah SWT, di sebalik cabaran kerajaan di dunia yang bergelut menghadapi pandemik Covid-19 dan segala masalah lain.

Artikel Berkaitan:

“Semoga World #QuranHour menjadi pencetus seluruh umat Islam kembali kepada panduan Allah SWT di dalam al-Quran lantas menjemput keberkatan daripada-Nya sebagai penyelesaian tuntas terhadap kecelaruan yang dihadapi dalam kehidupan masa kini.

“Mereka yang mahu dapatkan maklumat lanjut berkaitan program ini boleh hubungi RumahNgaji di Terengganu menerusi talian 0139858873,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!