45 pelanggan, pengurusan restoran dikompaun ingkar SOP
KUANTAN - Polis Kuantan telah mengeluarkan notis kompaun kepada 45 individu termasuk pengurusan restoran di sekitar Bandaraya Kuantan pada malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, notis kompaun itu dikeluarkan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti tiada penjarakan fizikal membabitkan satu meter antara pelanggan dan terdapat dua pelanggan yang tidak mengimbas bar kod MySejahtera ketika memasuki restoran berkenaan.
"Semua individu yang terbabit dikenakan tindakan kompaun di bawah kesalahan kategori ketiga Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana kesalahan tiada penjarakan fizikal dengan nilai kompaun antara RM1,500 ke RM2,000 bagi setiap individu.
"Turut dikenakan tindakan kompaun adalah pengurusan premis atas kesalahan sama dengan nilai kompaun RM10,000," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pemilik restoran dan peniaga digalakkan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pelanggaran SOP PKPP dalam kalangan pelanggan.
Mohamad Noor berkata, tindakan itu perlu dilakukan peniaga selepas teguran dan nasihat tidak dipedulikan oleh pelanggan.
"Bukan sekadar cakap (tegur) sahaja, sebaliknya peniaga perlu menghubungi pihak penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memaklumkan keingkaran pelanggan mematuhi SOP.
"Tindakan itu amat dialu-alukan terutama dalam membantu kita mengambil tindakan yang sepatutnya," katanya.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu pematuhan SOP kerana perkara berkenaan sudah menjadi normal baharu dalam kehidupan.
"Tiada nasihat lagi, malah tindakan kompaun akan terus dilakukan kepada orang ramai yang ingkar dan kita akan mempergiatkan pemantauan pematuhan SOP dari masa ke masa.
"Kita mahu orang ramai menjaga keselamatan diri, keluarga, kawan dan masyarakat. Jangan pentingkan diri sendiri kerana ia boleh memudaratkan diri dan orang lain," katanya yang kesal dengan sikap peniaga dan pelanggan yang dilihat enggan mematuhi SOP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!