LTAT lancar aplikasi MyWIRA

Ismail Sabri (dua kiri) melancarkan aplikasi MyWIRA di Auditorium Wisma Pertahanan pada Isnin.
Ismail Sabri (dua kiri) melancarkan aplikasi MyWIRA di Auditorium Wisma Pertahanan pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melancarkan aplikasi MyWIRA yang membolehkan pencarumnya mengakses akaun caruman secara digital pada Isnin.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan aplikasi MyWIRA adalah satu langkah baik untuk mendekati kumpulan sasar iaitu pencarum LTAT di seluruh negara.

Menurutnya, perkembangan itu juga bersesuaian dengan masa kerana pada era ini orang ramai lebih cenderung untuk menggunakan aplikasi dalam talian untuk melaksanakan transaksi.

"Contohnya, i-Akaun yang dibangunkan oleh KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau THiJARI yang dibangunkan oleh Lembaga Tabung Haji dan sebagainya yang memfokuskan kepada urus niaga dalam talian," katanya ketika merasmikan aplikasi itu di Wisma Pertahanan di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi LTAT, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Raza Mohd Sany serta Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Sri Amrin Awaluddin.

Aplikasi MyWIRA adalah inisiatif terbaharu LTAT yang membolehkan pencarum mengakses penyata caruman, memeriksa status permohonan pengeluaran caruman dan mengakses maklumat akaun unit amanah.

Selain itu aplikasi berkenaan turut menyalurkan maklumat berkaitan Yayasan LTAT, tawaran dan promosi eksklusif oleh perbadanan, anak syarikat dan rakan kongsi lembaga berkenaan.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, pencarum LTAT boleh menggunakan aplikasi MyWIRA untuk melakukan semakan kadar dividen yang diperoleh dan jumlah dividen yang diagihkan kepada pencarum pada tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau percaya dengan kemudahan yang ditawarkan melalui aplikasi MyWIRA ini, pencarum LTAT tidak perlu hadir ke kaunter sebaliknya hanya menggunakan kemudahan e-Kios atau melalui laman web LTAT.

"Kini pencarum boleh terus menggunakan aplikasi MyWIRA LTAT ini di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

"Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play untuk telefon Android dan di App Store bagi mereka yang menggunakan produk Apple iPhone," katanya.

Dengan pelancaran aplikasi itu, beliau turut mengajak semua pencarum LTAT sama ada pencarum wajib atau pencarum sukarela untuk menggunakan sepenuhnya perkhidmatan ditawarkan.

Sementara itu, Mohd Zahidi memaklumkan lembaga itu menyasarkan 80 peratus daripada 115,000 pencarumnya akan menggunakan aplikasi MyWIRA pada akhir tahun ini.

Menurutnya, aplikasi yang dibangunkan LTAT itu satu kemudahan untuk pencarumnya sesuai dengan normal baharu masyarakat yang menggunakan platform digital.

"LTAT akan turun padang ke kem di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak supaya pencarum kita dapat maklumat mengenai aplikasi seterusnya dapat menggunakan kemudahan ini.

"Pencarum kita akan menyumbang kira-kira 10 peratus daripada gaji mereka setiap bulan untuk mencarum dengan kita. Pada masa ini, kita ada 115,000 pencarum dan 15,000 sudah menggunakan aplikasi ini sejak dibuka pada awal bulan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!