Buruh dipenjara, denda RM8,000 kerana hina Al-Sultan Abdullah

Yusaini (tengah) dihukum penjara sehari dan denda RM8,000 selepas mengaku bersalah memuat naik hantaran jelek mengenai Al-Sultan Abdullah di laman sosial Facebook, tahun lepas. - Foto Bernama
Yusaini (tengah) dihukum penjara sehari dan denda RM8,000 selepas mengaku bersalah memuat naik hantaran jelek mengenai Al-Sultan Abdullah di laman sosial Facebook, tahun lepas. - Foto Bernama
A
A
A

TEMERLOH - Seorang buruh dihukum penjara sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Temerloh, di sini selepas mengaku bersalah memuat naik hantaran jelek mengenai Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook, tahun lepas.

Hakim Manira Mohd Nor juga memerintahkan Yusaini Razab @ Che Soh, 42, yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan menjalani hukuman penjara selama tiga bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.

Yusaini dituduh membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelek dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Facebook menggunakan nama profil 'Al Naml' yang menyentuh Al-Sultan Abdullah yang juga Yang di-Pertuan Agong yang telah dibaca pada 9 malam, 7 Mac 2020 di sebuah rumah di Taman Permatang Shahbandar di Maran.

Pada penghakimannya, Manira berkata, hukuman itu mengambil kira rayuan tertuduh dan kesalahan tertuduh adalah serius dan melibatkan penghinaan kepada institusi kesultanan dan ia diharapkan menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat secara amnya.

"Kamu kena lebih berhati-hati selepas ini semasa memuat naik apa-apa kandungan di media sosial. Penghinaan kepada institusi Diraja adalah sesuatu yang perlu dikekang dan mahkamah perlu memberi pengajaran," kata hakim.

Yusaini didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Tertuduh ditangkap pada 17 Jun 2020 selepas polis menerima laporan daripada orang awam membawa kepada rampasan sebuah telefon pintar yang dipercayai digunakan tertuduh bagi memuat naik hantaran tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilah Md Ali memohon hukuman sewajarnya kerana tindakan tertuduh memuat naik komen jelek terhadap institusi diraja mengganggu keharmonian rakyat dan perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Yusaini yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman denda terhadapnya diringankan memandangkan pendapatan bulanannya hanya sekitar RM1,500 dan menyara ibu yang tua selain telah insaf atas kesalahannya itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!