Sijil palsu: 30 hingga 40 kes direkod sebulan
Sebuah firma pengesahan penipuan dalam pekerjaan, Verity Intelligence Sdn. Bhd bersedia pada bila bila masa membantu kerajaan dan majikan syarikat untuk menyaring sijil akademik penjawat awam dan pekerja swasta bagi mengesan jika ada dalam kalangan mereka menggunakan ijazah palsu.
Ia susulan isu ijazah pendidikan palsu sedang hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat ketika ini.
Pengarah Urusan Verity Intelligence, Mark Leow berkata, ini kerana pihaknya mendapati kebanyakan ijazah yang dipalsukan itu membabitkan hampir 70 peratus universiti dan kolej tempatan manakala 30 peratus daripada universiti luar negara.
"Secara keseluruhan tahun lalu kami menyaring sekurang-kurangnya 100,000 pekerja dan mengesan antara 30 dan 40 kes pemalsuan sijil akademik dalam tempoh sebulan yang mana secara keseluruhan sekurang-kurangnya 400 sijil palsu melibatkan peringkat diploma dan ijazah berjaya dikesan bagi tahun 2018.
"Isu ijazah palsu sangat serius melanda negara ketika ini dan kes paling popular adalah melibatkan seseorang individu yang tidak pernah menamatkan pengajiannya di sesebuah universiti atau kolej tetapi ada 'ijazah' konon dia tamat pelajaran di universiti berkenaan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Biarpun kecoh, ijazah palsu masih dijual di Internet
Selepas diasaskan pada tahun 2010, Verity Intelligence diiktiraf sebagai salah satu syarikat penapisan dan pengesahan latar belakang terkemuka di Malaysia dan Singapura.
Menurut Mark, beliau tidak menafikan dunia pekerjaan yang memerlukan ijazah akademik untuk seseorang mendapatkan jawatan yang bagus, mendorong seseorang individu sanggup membuat ijazah palsu.
Pada masa sama katanya, isu ijazah palsu ini tidak dapat dibendung dengan mudah kerana kegagalan majikan menerusi Jabatan Sumber Manusia untuk melakukan proses saringan terperinci terhadap pekerja mereka atas faktor tahap kesedaran masih rendah dalam kalangan majikan di negara ini.
Di samping itu, katanya, faktor kecanggihan teknologi percetakan ketika ini juga membolehkan sesiapa juga boleh membuat sijil akademik palsu dengan mudah sama dia mencetak sendiri atau mengupah orang lain.
"Dengan teknologi percetakan hari ini, ijazah-ijazah dipalsukan itu memang hampir sama dengan ijazah asli, memang sukar untuk mengesan ketulenannya.
"Namun jika ada majikan yang mahu pihak kami membuat pemeriksaan dan pengesahan, kami bersedia melakukannya mengikut prosedur yang betul termasulah merujuk ijazah itu kepada universiti yang mengeluarkannya.
"Sesiapapun tidak perlu bimbang mengenai kos terpaksa dikeluarkan kerana ia cuma melibatkan kos dari RM100 ke RM500 sahaja bagi satu kes yang kami siasat," katanya. Kos ini melibatkan beberapa jenis saringan mengikut tahap risiko yang diiingini.
Jelas Mark, isu ijazah palsu ini semakin buruk kerana sudah boleh dibeli secara dalam talian dengan harga 'mampu milik'.
"Isu ini akan beri kesan kepada masyarakat seterusnya sistem pendidikan negara kita. Memang setakat ini memiliki ijazah palsu tidak dianggap penjenayah tetapi perbuatan itu libatkan integriti apatah lagi libatkan ketua syarikat dan pemimpin politik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!