504,165 individu terima dua dos vaksin setakat Ahad

Dr Adham berucap pada perasmian Sambutan Hari Malaysia Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 bertemakan 'Zero Malaria-Draw The Line Againts Malaria' di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Adham berucap pada perasmian Sambutan Hari Malaysia Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 bertemakan 'Zero Malaria-Draw The Line Againts Malaria' di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 504,165 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat Ahad, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau menerusi akaun Twitternya hari ini berkata, bagi tempoh sama, seramai 800,996 individu telah menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 1,305,161 dos setakat Ahad.

Menerusi satu infografik yang dikongsikan, Dr Adham berkata, lima negeri yang menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 103,615 dos, diikuti Kuala Lumpur (87,609), Sarawak (83,588), Johor (72,467) dan Sabah (66,640).

Lima negeri tertinggi yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat Ahad pula ialah Selangor dengan 70,512 dos, diikuti Sarawak (51,931), Perak (50,035), Sabah (45,602) dan Kuala Lumpur (44,379).

Menurut Dr Adham, setakat Ahad hanya 38.20 peratus atau 9,277,999 daripada golongan sasaran telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 2,416,523 pendaftaran atau 49.90 peratus.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga yang dijadual dari Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!