'Kalau aku jatuh, tenggelam tak timbul dah'

Mohd Ab Haq (kiri) bersama sepupu, Muhammad Firdaus Mat, 32, datang ke jeti pada setiap hari menunggu khabar, Zulshahmi Danial Zulazman, 26, yang masih hilang dalam kejadian bot terbalik di perairan Kuala Besar, Kota Bharu pada Jumaat.
Mohd Ab Haq (kiri) bersama sepupu, Muhammad Firdaus Mat, 32, datang ke jeti pada setiap hari menunggu khabar, Zulshahmi Danial Zulazman, 26, yang masih hilang dalam kejadian bot terbalik di perairan Kuala Besar, Kota Bharu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - “Kalau aku jatuh ni, tenggelam tak timbul-timbul dah.”

Itu gurauan mangsa, Zulshahmi Danial Zulazman, 26, yang masih belum ditemui dalam kejadian bot terbalik di perairan Kuala Besar di sini pada Jumaat.

Rakannya, Mohd Ab Haq Mohd Azmi, 33, berkata, gurauan itu genap sebulan dikatakan oleh mangsa yang mesra dengan panggilan ‘Bob’ ketika dia membantu membaiki enjin bot yang rosak sebelum kejadian.

“Semasa berbual dia kata: "Aku kalau jatuh dalam air ni, tenggelam tak timbul-timbul dah. Ambil batu lempar, tengok gitulah aku jatuh dalam air".

“Selepas dengar berita ini, saya amat sedih dan teringat kembali gurauannya itu,” katanya ketika ditemui di Jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Besar di sini pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga lelaki dipercayai hilang ketika candat sotong

Mohd Ab Haq bersama sepupu, Muhammad Firdaus Mat, 32, datang ke jeti pada setiap hari menunggu sekiranya ada khabar mengenai kehilangan anak bongsu daripada dua beradik berkenaan.

Katanya, Zulshahmi yang merupakan anak yatim kematian bapa dan tinggal di Nilam Puri bersama ibunya adalah seorang yang berkeperibadian baik selain suka membantu orang lain.

“Dia sangat berminat memancing di laut, selepas lama tidak ke laut akibat cedera retak tulang tapak kaki kerana kemalangan motosikal.

Artikel Berkaitan:

“Akhir-akhir ini, dia kerap ke laut mencandat sotong, selang sehari walaupun tahu cuaca kurang baik pada sebelah malam, malah selalu mengaku bahawa dia tidak pandai berenang,” katanya.

Muhammad Firdaus pula berkata, Zulshahmi diibaratkan sudah seperti adiknya kerana mangsa begitu rapat dengan bapanya, Mat Awang, 54, iaitu seorang daripada dua mangsa yang ditemui selamat.

“Bob bekerja dengan bapa saya sebagai tukang pembuat siling kapur sejak lima tahun lalu dan kami sudah seperti adik-beradik.

“Walaupun harapan tipis, saya masih mengharapkan keajaiban berlaku dan dia ditemui selamat. Kalaulah dia ‘sudah tiada,’ harap jasadnya dapat pulang ke pangkuan kami,” katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, bot jenis fiber yang dinaiki tiga pencandat sotong terbalik dipukul ribut di Kuala Besar, di sini pada jam 10 malam.

Pemilik bot, Mat dan rakannya, Mat Harun Mohd Nor, 55, berpaut lebih 15 jam tong ais dan ditemui pada jam 1 petang, Sabtu oleh nelayan yang kemudian membawa mereka ke Jeti Pantai Sabak

Mereka masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan susulan dan pemerhatian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!