Maut terhidu bau bahan kimia
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warganegara India maut manakala seorang lelaki tempatan kritikal dipercayai akibat terhidu bau bahan kimia ketika melakukan kerja-kerja pembersihan lori tangki di sebuah pusat mencuci kereta Taman Tampoi Indah, di sini pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I Suhaimi Abdul Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.58 pagi, sebelum satu jentera FRT, satu jentera MERS dan dua unit RIM dari BBP Larkin dengan kekuatan 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
"Ketika sampai di tempat kejadian, kita dapati tiga orang lelaki terperangkap di atas sebuah lori tangki jenis Scania semasa melakukan kerja-kerja pembersihan.
"Lori tangki lori itu tanpa muatan tetapi merupakan bekas penyimpanan bahan kimia iaitu jenis Fatty Alcohol UN No.3082.
"Bomba kemudian melakukan rawatan Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR) kepada seorang mangsa yang tidak sedarkan diri dan membawa turun kesemua mangsa dengan menggunakan tali dan usungan serta memberi rawatan awal kepada mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Jelasnya, salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Magehindran, yang juga warga India disahkan meninggal dunia, dipercayai akibat terhidu saki baki bahan kimia berkenaan.
Sementara seorang lelaki tempatan, S. Balamurali, 32, dilaporkan kritikal dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk menerima rawatan lanjut manakala seorang lagi lelaki tempatan, S. Thangamali, 34, selamat.
"Anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) juga membuat tinjauan di kawasan kejadian dan mengambil bacaan dengan menggunakan Gas Detector GFG450. Operasi ditamatkan pada jam 11.25 lagi selepas kawasan persekitaran dipastikan selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!