Adam azam teruskan aksi cemerlang di Valencia
PELUMBA muda negara Adam Norrodin berazam meneruskan aksi cemerlang dalam saingan Kejuaraan FIM CEV Repsol 2021 di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol pada bulan depan selepas mencapai sasaran menaiki podium di Portugal.
Pelumba Liqui Moly Intact SIC Racing Team bagi saingan Moto2 itu berharap kerja keras dipamerkan rakan sepasukannya sepanjang saingan minggu lepas dapat diteruskan pada perlumbaan berikutnya.
“Alhamdulillah saya mencapai sasaran untuk dapat kedudukan podium pada perlumbaan pertama, terima kasih kepada kru terlibat yang bekerja keras serta kepada semua yang menyokong saya sehingga memastikan ia (kejayaan) terjadi minggu ini.
“Pada perlumbaan kedua ada berlaku kesilapan di peringkat awal tetapi tetap berjaya menamatkannya di tempat keempat, jadi masih terdapat ruang untuk diperbaiki pada perlumbaan di Valencia nanti,” katanya dalam rakaman video kepada pemberita pada Isnin.
Pada Ahad, Adam menamatkan perlumbaan pertama di Litar Estoril, Lisbon, di kedudukan ketiga dengan catatan masa 30 minit dan 49.938 saat.
Juara milik pelumba Sepanyol, Fermin Aldeguer daripada pasukan Boscoscuro Talent Team-Ciatti selepas merekodkan 30:40.737 sementara rakan sepasukannya Alonso Lopez dari Sepanyol di tempat kedua (30:42.154).
Pada perlumbaan kedua, Adam terpaksa berpuas hati di tempat keempat dengan catatan 30:51.207 di belakang rakan sepasukan dari German Lukas Tulovic (30:44.795) sementara Aldeguer dan Lopez masing-masing mempertahankan kedudukan dua teratas dengan kepantasan 30:41.626 dan 30:41.664. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!