200 pek juadah sahur buat 'penjaga malam'
SEREMBAN - Sebanyak 200 pek juadah sahur telah diagihkan menerusi program Singgah Sahur yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bridged Negaraku dengan kerjasama BNYV Negeri Sembilan dan Persatuan Belia Warisan Perdana pada Ahad.
Presiden Bridged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, program tahun ke empat yang dianjurkan itu bukan sahaja menyasarkan barisan hadapan tetapi juga pengawal keselamatan, pekerja membuat jalan dan pekerja memasang kabel.
Menurutnya, ia sebagai menghargai khidmat mereka yang bersengkang mata demi keselamatan dan kesejahteraan semua.
"Seramai 40 sukarelawan yang terlibat untuk membuat pengagihan makanan sahur di sekitar daerah Seremban bermula jam 11.30 malam hingga 2 pagi.
"Sumbangan kami ini mungkin kelihatan kecil, tapi peluang menyantuni kumpulan yang saya gelarkan sebagai 'penjaga malam' ini amat besar nilainya buat kami," katanya.
Sementara itu pengawal keselamatan Razif Sidik, 28, berkata, sudah tiga tahun dia terpaksa bersahur di tempat kerja dan kebiasaannya makanan itu akan dimasak oleh ibunya.
Katanya, kali pertama merasai pengalaman itu dia agak sedih, tetapi kini perkara itu sudah menjadi kebiasaan.
Begitu juga dengan pekerja sambilan memasang kabel Mohamad Shahril Ismail, 32, berkata, suasana sahurnya berbeza dengan orang lain yang selesa bersama keluarga di rumah.
"Isteri memang risaulah sebab kerja saya di jalan raya, risau kejadian tak diingini berlaku. Tapi nak buat macam mana sudah menjadi tuntutan kerja.
"Macam malam ini saya mula kerja jam 9 malam dan kalau selesai awal, saya akan pulang ke rumah untuk bersahur bersama keluarga dan kalau lambat siap, di tepi jalan saja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!