Banglo terbakar, warga emas melecur
KUALA LUMPUR - Seorang warga emas ditemui melecur pada tangan dan badan dalam sebuah banglo yang terbakar di Taman Duta, di sini pada Isnin.
Komander Operasi Kanan, Mohd Hafizan Hassan berkata, pihaknya di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 4.02 petang.
Menurutnya, seramai 38 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Titiwangsa dan BBP Taman Tun Dr Ismail bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati seorang mangsa lelaki berumur 83 tahun mengalami kecederaan melecur 10 peratus di bahagian tangan dan badan.
“Kebakaran sebanyak 80 peratus membabitkan sebuah rumah banglo dua tingkat dan empat buah kenderaan jenis Toyota Camry, Toyata Hilux, Mercedes Benz dan Van Mitsubishi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohd Hafizan berkata, operasi pemadaman kebakaran dapat dikawal pada jam 5.01 petang dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!