PATI tidak sempat rentas negara
KUALA LANGAT - Sekumpulan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bersembunyi di ladang kelapa sawit ditahan dalam Ops Benteng, di Kampung Ladang Tumbuk, Tanjung Sepat di sini pada Ahad.
Kesemua PATI lelaki itu dipercayai menunggu bot untuk menyusup keluar melalui jalan tidak sah.
Pegawai Pemerintah Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rozasin Ramlan berkata, pemeriksaan mendapati PATI itu terdiri daripada 14 warga Indonesia dan seorang Myanmar.
"Kita turut merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua PATI itu dipercayai dibawa ke kawasan terbabit dengan menggunakan kenderaan e-hailing yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan.
"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Tanjung Sepat untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Tegasnya, pihaknya menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis bagi mengekang aktiviti kemasukan dan keluar pendatang asing tanpa izin menggunakan jalan yang tidak diwartakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!