Kendali kelab besar beri kelebihan

Guardiola bersama barisan pemain dan kejurulatihan City meraikan kejayaan menjuarai Piala Liga di Stadium Wembley pada Ahad.
Guardiola bersama barisan pemain dan kejurulatihan City meraikan kejayaan menjuarai Piala Liga di Stadium Wembley pada Ahad.
A
A
A
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola mengakui membimbing kelab-kelab besar memberikan satu kelebihan kepadanya untuk menjulang trofi kejuaraan.

Menurut Guardiola, dia telah menikmati detik-detik terindah dalam kariernya ketika membimbing dua kelab gergasi Eropah - Barcelona dan Bayern Munich sebelum ini.

“Ya... ia sesuatu yang bagus apabila anda berada dalam sebuah kelab yang besar kerana ia secara tidak langsung akan memotivasikan diri anda sendiri untuk meraih lebih banyak kejuaraan.

“Saya pernah bersama Barcelona, Bayern dan sekarang City. Jadi semuanya menjadi lebih mudah untuk menterjemah sasaran yang diletakkan kelab kerana kami memiliki pakej yang lebih.

“Semua pihak memainkan peranan penting dalam misi memburu trofi kejuaraan. Saya gembira kerana sekali lagi berada dalam kelab yang memiliki misi dan visi untuk mencipta sejarah dalam bola sepak,” katanya.

Terdahulu, Guardiola mendakap trofi ke-25 dalam karier kejurulatihannya selepas mengemudi City muncul juara Piala Liga hasil kemenangan 1-0 ke atas Tottenham Hotspur dalam aksi final di Stadium Wembley pada Ahad.

Guardiola menyifatkan kehadiran penyokong The Citizens menjadi pembakar semangat kepada barisan pemainnya dalam mempertahankan gelaran Piala Liga buat kali keempat berturut-turut.

“Ini kali pertama kami beraksi di depan penyokong selepas tempoh beberapa lama. Biarpun tidak memenuhi stadium, namun sorakan penyokong sudah cukup memotivasikan semangat pemain-pemain saya,” ujarnya.

Beraksi di depan 8,000 penyokong, City mengesahkan kejuaraan Piala Liga hasil jaringan tunggal Aymeric Laporte pada minit ke-82, sekali gus melebarkan penantian 13 tahun Spurs untuk menjulang trofi.
Artikel Berkaitan:


“Hari ini kami sangat gembira kerana berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut. Keazaman tinggi ditunjukkan setiap pemain sebaik wisel permulaan dibunyikan sehingga akhirnya kami memperoleh gol pada lewat perlawanan.

“Saya juga harus memberi pujian kepada Tottenham yang beberapa kali mengancam kubu kami menerusi serangan balas mereka. Secara keseluruhannya, ia satu perlawanan yang menghiburkan daripada kedua-dua pasukan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!