Kes darah beku akibat vaksin AstraZeneca rendah, jarang berlaku
PUTRAJAYA - Jumlah kes darah beku atau thrombosis selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca adalah rendah dan jarang berlaku, kata Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pemilihan Calon Vaksin Covid-19 Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Kalaiarasu M.Periasamy.
Menurutnya, berdasarkan data daripada Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) dan Agensi Perubatan Eropah (EMA), terdapat 168 kes thrombosis dikesan di seluruh dunia sejak Mac lepas dan dalam tempoh itu juga, kira-kira 21.6 juta individu di seluruh dunia telah menerima suntikan vaksin AstraZeneca.
“Ini adalah suatu bilangan yang amat kecil jika dibandingkan dengan bilangan dos vaksin, malah tiada bukti walaupun disuarakan EMA.
“Walaupun beberapa negara sebelum ini menghentikan sementara penggunaan vaksin itu di negara masing-masing berikutan kesan sampingan, namun ia diteruskan semula selepas data terkini diperoleh selepas ia disuntik kepada rakyat,” katanya pada sesi libat urus bersama media mengenai vaksin di sini pada Isnin.
Beliau memberi contoh Belgium yang pernah menghentikan sementara penggunaan vaksin AstraZeneca, namun menggunakan semula setelah EMA memberikan sokongan bahawa ia selamat.
Bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keberkesanan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Pendidikan dan Sokongan Teknikal), Dr Hishamshah Mohd Ibrahim menjelaskan setiap pembelian vaksin melalui proses penilaian oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Katanya, proses itu bertujuan memastikan setiap vaksin Covid-19 menepati piawaian keselamatan terhadap kesihatan serta tubuh manusia selain berkualiti tinggi.
“Keyakinan rakyat (berhubung penggunaan vaksin) perlu dipastikan dan apa-apa kesan sampingan seperti ‘blood clot’ adalah satu kejadian yang jarang dijumpai. Kita juga akan sentiasa memantau penggunaan vaksin AstraZeneca bagi melihat apa kesan sampingan yang berlaku,” katanya
Menurut laporan media, vaksin keluaran University Oxford itu dilapor menunjukkan keberkesanan 76 peratus terhadap jangkitan bersimptom untuk tiga bulan selepas menerima dos pertama dan peratusan itu dijangka meningkat jika penerimaan dos kedua dilanjutkan.
Malaysia menerima 268,800 dos vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca yang diperoleh melalui fasiliti COVAX pada Sabtu lalu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca adalah selamat dan akan digunakan dalam proses vaksinasi golongan berusia 60 tahun ke atas.
Sementara itu, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit KKM, Dr Benedict Sim Lim Heng menasihatkan penerima suntikan vaksin untuk merujuk ke mana-mana hospital sekiranya mengalami kesan sampingan dalam masa antara empat hingga 14 hari, walaupun telah mengambil ubat tahan sakit.
Menurutnya, antara gejala kesan sampingan selepas suntikan vaksin adalah sakit kepala yang teruk, penglihatan kabur, mual dan muntah serta sesak nafas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!