Warga emas hampir dirogol warga asing
ISKANDAR PUTERI - Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila hampir dirogol seorang lelaki warga asing yang menceroboh rumahnya di Taman Skudai di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa merupakan suri rumah berumur 65 tahun sedang tidur sebelum terdengar bunyi orang membuka tingkap biliknya.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata mangsa mendapati seorang lelaki bangsa asing, berkulit gelap tidak memakai baju dan hanya memakai seluar dalam sedang berdiri di hadapan katilnya sambil memegang sebatang besi.
"Suspek mengarahkan mangsa supaya diam dan menanggalkan pakaian kerana suspek hendak merogolnya.
"Mangsa yang dalam ketakutan hanya menurut apa yang disuruh. Suspek telah cuba untuk merogol mangsa namun tidak berjaya. Suspek hanya mengeluarkan air mani di atas tilam pengadu," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Menurut Dzulkhairi, suspek juga memaksa pengadu supaya menyerahkan wang tunai sebanyak RM500 sebelum beredar.
"Berdasarkan maklumat dan risikan yang dibuat, seorang suspek lelaki warga Bangladesh berumur 26 tahun dan dan dua lelaki warga Myanmar berumur 21 dan 26 tahun ditahan pada jam 2.30 petang pada Selasa.
"Kedua-dua lelaki warga Myanmar itu ditahan kerana cuba melarikan diri dan disyaki bersubahat dengan suspek. Kesemua mereka bekerja sebagai buruh binaan.
" Polis turut merampas beberapa bahan bukti yang dipercayai digunakan untuk tujuan samun antaranya sebatang besi, besi pengumpil, sehelai 'boxer' berwarna kelabu dan sebuah telefon bimbit," katanya.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
"Suspek dan dua lagi rakannya akan di bawa ke mahkamah Johor Bahru untuk proses permohonan tahanan reman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!