Permintaan songkok merudum dek penangan Covid-19

Pemilik Pustaka Al Jilani, Hamzah Irzal, 52 menjahit rangka songkok di Bangunan UTC di sini. - Foto Bernama
Pemilik Pustaka Al Jilani, Hamzah Irzal, 52 menjahit rangka songkok di Bangunan UTC di sini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Songkok yang sinonim dengan Aidilfitri, sering kali mendapat permintaan tinggi menjelangnya musim perayaan itu, namun penangan pandemik Covid-19 telah menyebabkan perniagaan songkok merosot teruk pada tahun ini.

Pemilik Pustaka Al Jilani, Hamzah Irzal, 52, yang membuat, membekal dan menjual songkok secara borong serta pelanggan individu berkata, pihak pemborong terutamanya yang berniaga di tapak bazar Aidilfitri memaklumkan takut untuk menempah produk itu dalam kuantiti banyak kerana bimbang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan secara mengejut.

Hamzah berkata, biasanya menjelang sambutan Aidilfitri sebelum ini, beliau bagaikan tidak menang tangan menyiapkan ribuan tempahan, tetapi kini terpaksa reda apabila hanya menerima kira-kira 200 tempahan.

“Tempahan yang saya terima kali ini kebanyakannya secara dalam talian iaitu menerusi laman sosial Facebook dan Instagram selain aplikasi Shopee.

“Pihak pemborong bimbang jika PKP dilaksanakan, perniagaan ini tidak dibenar beroperasi dan menyebabkan kerugian kerana barangan jualan tidak dapat dijual selain mungkin ramai yang tiada semangat untuk beraya kerana tidak dapat pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui di premisnya di Bangunan UTC di sini.

Hamzah yang memulakan perniagaan songkok dan kopiah sejak tahun 2008 bagaimanapun bersyukur kerana dapat memperluaskan produknya ke luar negara seperti Brunei dan Indonesia kerana turut menerima tempahan dari negara berkenaan.

Pemilik Pustaka Al Jilani, Hamzah Irzal, 52 menunjukan songkok yang selesai dijahit oleh beliau. - Foto Bernama
Pemilik Pustaka Al Jilani, Hamzah Irzal, 52 menunjukan songkok yang selesai dijahit oleh beliau. - Foto Bernama

"Semua tempahan dari luar negara akan dihantar melalui pos, namun terdapat negara jiran yang meniru produk saya dan menjualnya tetapi kekemasan yang mereka hasilkan tetap tidak sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, antara produknya yang paling eksklusif adalah Kopiah Hafiz atau Kopiah Imam yang dihasilkan menggunakan kain kolar dan kain serban yang sangat selesa serta mempunyai keunikan tersendiri.

“Ia dijual dengan harga RM80 seunit dan biasanya didatangi dengan warna merah manggis serta bertali. Selain untuk dewasa, saya juga ada buat untuk kanak-kanak di sekolah tahfiz," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah turut menzahirkan kebimbangan terhadap industri pembuatan songkok dan kopiah yang dilihat bakal pupus di negara ini kerana ramai tukangnya sudah semakin tua dan meninggal dunia.

Hamzah berkata, ini kerana ramai golongan muda dilihat tidak berminat dengan perusahaan membuat songkok dan kopiah meskipun setelah beliau mengadakan kelas pembuatannya di sebuah institut kemahiran di Seri Iskandar, Perak Tengah sebelum ini.

“Kemungkinan pada tahun-tahun akan datang, pembuatan songkok ini akan mendapat sambutan semula apabila munculnya generasi pelapis, justeru kerajaan perlu memikirkan cara supaya orang Melayu minat untuk menceburi bidang ini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!