Jangan ambil mudah pendidikan seks di sekolah

No Image Caption
A
A
A

NASIB yang menimpa seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah sekolah di Kuala Selangor apabila berdepan dengan jenaka mengenai rogol ketika dalam kelas memang menyedihkan kita semua.

Tidak sepatutnya seorang pelajar berdepan dengan situasi tersebut kerana isu rogol bukan perkara yang boleh dijadikan sebagai jenaka.

Rogol bukan jenayah biasa kerana perbuatan itu boleh menghancurkan hidup seorang wanita dan bayangkan sekiranya perkara itu berlaku kepada anak perempuan kita sendiri.

Jenayah rogol bukan saja meninggalkan titik hitam dalam hidup dan kesan terhadap kesejahteraan mental, fizikal, emosi dan psikologi mangsa, tetapi boleh juga membawa kepada kecederaan dan kematian.

Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2020 menunjukkan jenayah rogol dan mencederakan mencatatkan peningkatan sebanyak 5.5 dan 2.9 peratus pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Atas sebab itulah maka jenayah rogol tidak boleh dijadikan sebagai satu gurauan kerana dibimbangi akan memberikan mesej atau persepsi yang salah terutama kepada pelajar lelaki.

Ungkapan guru terbabit yang mencadangkan kepada pelajarnya supaya mereka boleh merogol seseorang pada usia melebihi 18 tahun memang cukup menjengkelkan dan tidak boleh diterima sama sekali walaupun ia sekadar satu gurauan.

Bagaimana jika ada pelajar yang percaya dan menerima bulat-bulat dengan ungkapan tersebut dan menganggap bahawa cadangan yang dilontarkan oleh gurunya itu tidak menyalahi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, kita berharap perkara seperti ini tidak berulang lagi dan semua pihak terutama guru-guru tidak boleh mengambil mudah terhadap pendidikan seks.

Kita juga ingin mengucapkan syabas kepada pelajar terbabit yang begitu berani untuk mendedahkan tentang perkara tersebut.

Ini menunjukkan bahawa pelajar itu mempunyai kematangan dan mampu untuk menilai sesuatu perkara itu dengan kritis.

Kita amat berharap agar pelajar lain juga perlu memiliki keberanian yang sama jika mendapati isu-isu sensitif dijadikan bahan gurauan dan ketawa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!