Tunggu keadaan 'panas' reda dahulu: Azlan

Azlan Man
Azlan Man
A
A
A

KANGAR - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, beliau bersikap terbuka dan menunggu keadaan kembali reda untuk sedia bekerjasama dengan semua pemimpin parti di peringkat bahagian.

Beliau yang juga Menteri Besar Perlis berkata, pendekatan tersebut diambilnya bagi mengelak keadaan di dalam parti menjadi lebih teruk dan sedia untuk bekerjasama dengan semua, termasuk pihak yang menolak pelantikannya sebagai peneraju UMNO Perlis.

“Tunggu keadaan ‘panas’ ketika ini reda dahulu dan saya akan cari jalan terbaik agar kita dapat duduk sebaris nanti. Saya mengambil sikap terbuka dan tidak mempunyai sifat pendendam, jauh lagi bermusuh dengan sesiapa sahaja,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama-sama kepimpinan UMNO Bahagian Kangar di kediamannya di sini, malam tadi (Isnin).

Ahad lepas, Bernama melaporkan UMNO Bahagian Arau dan sayap Puteri Bahagian itu menolak pelantikan Azlan sebagai Pengerusi UMNO Perlis menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim, dan mendesak presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengembalikan jawatan itu kepada Shahidan.

ARTIKEL BERKAITAN: Shahidan terima keputusan bukan lagi Pengerusi UMNO Perlis

Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata walaupun UMNO Bahagian Arau dan Padang Besar mengeluarkan kenyataan menolak pelantikan beliau, ia tidak menggambarkan keadaan sebenar di peringkat akar umbi.

“Yang tidak dapat menerima keputusan itu adalah ketuanya bukan keseluruhan Bahagian..apa pun biarlah keadaan reda dahulu dan saya yakin keadaan akan bertambah baik selepas ini...Insya-Allah,” katanya menambah bahawa keadaan politik di Perlis tidak huru-hara sebaliknya apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendekatan yang digunakan oleh pemimpin politik di negeri itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!