Geng Nicky: Dua pegawai SPRM ditahan
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan dua pegawainya yang dipercayai terlibat dengan jenayah terancang, Geng Nicky.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah memberi kerjasama kepada polis dengan menyerahkan kedua-dua pegawai berkenaan bagi membantu siasatan.
"Saya memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam hal ini malah akan menyerahkan lagi mana-mana pegawai SPRM sekiranya ada yang terlibat," katanya pada Selasa.
Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menahan dua pegawai SPRM berpangkat penolong pesuruhjaya dan penguasa yang bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dalam Op Pelican 3.0 fasa dua.
ARTIKEL BERKAITAN: 12 pegawai kanan polis, SPRM tali barut Geng Nicky ditahan
Turut ditahan, 10 pegawai polis termasuk dua daripadanya berpangkat superintenden dan inspektor yang bertugas di Bukit Aman, selain pegawai di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Geng Nicky dipercayai didalangi oleh ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee kini berada dalam senarai individu dikehendaki dan dikenakan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!