Rayuan MAS, AirAsia batal denda RM10 juta dibenarkan
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Selasa membenarkan rayuan Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Berhad untuk membatalkan denda RM10 juta yang dikenakan terhadap kedua-dua syarikat penerbangan itu oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana didapati melanggar larangan perkongsian pasaran.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah membenarkan rayuan kedua-dua syarikat penerbangan itu mengembalikan semula keputusan Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) yang mendapati bahawa MAS dan AirAsia tidak melanggar Seksyen 4(2) Akta Persaingan 2010.
Hakim Hanipah yang menyampaikan keputusan mahkamah berkata CAT adalah pihak berkuasa rayuan dan MyCC mesti mematuhi keputusan CAT.
“Ia (MyCC) tidak boleh mengetepikan atau mencabar keputusan pihak berkuasa rayuan melainkan ia diperuntukkan di bawah Parlimen,” katanya.
Hakim Hanipah berkata, mahkamah berpendapat MyCC bukan pihak yang terjejas oleh keputusan CAT itu.
Hakim Hanipah membenarkan bantahan awal oleh MAS dan AirAsia bahawa MyCC tidak mempunyai locus standi (hak atau kedudukan di sisi undang-undang) untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan CAT yang mengetepikan keputusannya (MyCC) untuk mengenakan denda RM10 juta.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Indera Mohd Sofian Abd Razak dan panel hakim itu memerintahkan MyCC membayar kos RM30,000 masing-masing kepada MAS dan AirAsia.
Prosiding itu dijalankan secara persidangan video melalui aplikasi Zoom.
Dalam keputusan mahkamah itu, Hakim Hanipah berkata, perjanjian kerjasama itu dimeterai sebelum Akta Persaingan berkuat kuasa pada 1 Januari 2012 sambil menambah ia adalah sah untuk membincangkan perjanjian tersebut pada waktu itu.
MyCC mendenda kedua-dua syarikat penerbangan MAS dan AirAsia pada 2014 masing-masing sebanyak RM10 juta kerana melanggar larangan perkongsian pasaran mengikut Seksyen 4(2) Akta Persaingan dengan memeterai satu perjanjian berhubung perkongsian pasaran dalam sektor perkhidmatan pengangkutan udara di Malaysia.
Kedua-dua syarikat penerbangan itu mengemukakan rayuan berhubung denda tersebut dan pada 18 Februari 2016, CAT mengetepikan keputusan MyCC.
MyCC kemudian memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan CAT dan mengembalikan semula keputusannya (MyCC) mengenakan denda terhadap MAS dan AirAsia.
Pada Disember 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman MyCC dan mengembalikan keputusannya (MyCC) mengenakan denda ke atas kedua-dua syarikat penerbangan itu mendorong MAS dan AirAsia mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Denda RM10 juta yang dikenakan MyCC adalah berdasarkan jumlah penerbangan kedua-dua syarikat dalam tempoh empat bulan iaitu antara 1 Januari dan 30 April 2012 bagi laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, Kuala Lumpur-Kuching, Kuala Lumpur-Sandakan serta Kuala Lumpur-Sibu.
Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan mewakili AirAsia, manakala MAS diwakili Logan Sabapathy dan Datuk Lim Chee Wee hadir bagi pihak MyCC. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!