Jangan susahkan rakyat yang dikenakan PKPD: Mohd Shafie
KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya tidak menyukarkan keadaan penduduk terutama mereka yang terkesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menurutnya, pihak berkuasa harus memastikan penduduk yang terjejas di negeri ini mendapat bantuan makanan yang diperlukan tanpa dilengah-lengahkan.
Menurutnya, penduduk telah mengalami kesukaran selama lebih setahun kerana pandemik Covid-19 dan sepatutnya tidak dibebani dengan sekatan.
"Kerajaan GRS sentiasa mengumumkan bakul makanan disediakan dan berjuta-juta wang diperuntukkan untuk bantuan makanan tetapi rakyat mengeluh apabila mereka tidak menerima sebutir beras pun.
"Pihak berkuasa juga boleh melanjutkan waktu gerai makanan tetapi penduduk tidak dibenarkan untuk mendapatkan kemudahan untuk ke kedai atau makanan, jadi mereka kelaparan.
"Kita tidak boleh mengelak daripada pelaksanaan PKPD tetapi penduduk yang terjejas mesti dapat makanan. Kerajaan negeri mesti menunjukkan belas kasihan, ini adalah bulan puasa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, demonstrasi aman yang dilakukan di Kampung Muhibbah Raya, Tawau, baru-baru ini memberi isyarat jelas bahawa rakyat sedang marah dan kecewa.
"Mereka tidak mendapat bantuan makanan tetapi pada masa sama, mereka tidak boleh keluar untuk mendapatkan makanan.
"Saya juga mendengar keluhan bahawa di kawasan pembangkang kekurangan bantuan makanan. Ini tidak seharusnya berlaku kerana peruntukan kerajaan terlibat dan harus dibahagi secara adil.
"Sebagai pemerintah, adakah kamu tiada perasaan? Tidakkah mereka peduli dengan rakyat? Berhenti bermain politik dan lakukan apa yang harus dilakukan sebagai pemerintah hari ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!