'SOP dua darjat' mesti dihentikan segera

Tangkap layar hantaran di Facebook Khairil Nizam pada Selasa.
Tangkap layar hantaran di Facebook Khairil Nizam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 perlu dilaksanakan dengan sebaiknya supaya tidak timbul dakwaan 'SOP dua darjat' sehingga menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata, isu 'SOP dua darjat' tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan telah menggariskan panduan yang lengkap untuk dijadikan rujukan kepada rakyat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, kesemua pihak yang bertanggungjawab dalam menggariskan SOP perlu duduk bersama dan membincangkan serius isu tersebut.

"SOP dua darjat’ ini mesti dihentikan segera. Buat semua agensi penguatkuasaan, bertindaklah dengan tegas dan telus serta menggunakan budi bicara yang penuh hikmah kepada semua pesalah (tanpa mengira darjat) terutamanya pada mereka yang dengan sengaja melanggar SOP.

“Saya yakin rakyat bersedia untuk mematuhi SOP semaksimum mungkin, namun rakyat tidak boleh menerima apa jua bentuk pelaksanaan hukuman serta layanan terpilih,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Khairil Nizam
Khairil Nizam

Beliau berkata demikian dipercayai sebagai mengulas mengenai beberapa perbezaan dalam penguatkuasaan SOP yang dikenakan terhadap rakyat biasa dan individu ternama di negara ini sehingga menjadi perbincangan ramai.

Sementara itu, Khairil merayu kepada pihak berwajib supaya mempercepatkan proses siasatan kes terhadap individu yang tidak patuh SOP, khususnya yang boleh menggusarkan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sekiranya perkara itu tidak ditangani segera, ia akan menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Dalam pertarungan kita membendung Covid-19 ini, kepercayaan dan sokongan rakyat adalah amat penting dan kritikal.

“Saya yakin kerajaan hari ini telah melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif untuk memutuskan rantaian Covid-19. Tetapi jika kita terus membiarkan isu 'SOP dua darjat' serta ketidakadilan ini berterusan, kita mungkin akan menemui titik kegagalan,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN Peniaga burger terkilan dikompaun RM50,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!