Polis KL tumpaskan sindiket pengedaran dadah

Antara barangan termasuk dadah yang dirampas.
Antara barangan termasuk dadah yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan dan warga asing dengan tertangkapnya empat individu di hadapan residensi Taman Shamelin dan sebuah kondominium di Jalan Jelatek, di sini pada Khamis.

Serbuan yang dijalankan itu turut berjaya merampas dadah jenis ganja seberat 10,084 gram berserta wang tunai dengan nilai keseluruhan sebanyak RM25,660.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, operasi khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kuala Lumpur kira-kira jam 3.50 petang itu berjaya menahan kesemua suspek terlibat dalam sindiket yang dipercayai bergerak aktif sejak tiga bulan lalu.

"Antara ditahan dua lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga Syria, kesemua suspek berumur antara 20 tahun hingga 42 tahun.

"Pemeriksaan lanjut ke sebuah kondominium itu mendapati ia disewa selama tujuh bulan oleh suspek pertama iaitu lelaki warga tempatan dengan bayaran RM3,000 sebulan dan serbuan dijalankan berjaya merampas dadah yang disyaki ganja seberat 10,084 gram dan wang tunai sebanyak RM 450," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, ujian saringan yang dijalankan turut mendapati kesemua suspek positif dadah, namun masing-masing tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek direman dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!