394 sindiket dadah tumpas sejak tahun lalu

Razarudin
Razarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan 394 sindiket dengan tangkapan seramai 1,537 individu sejak tahun lalu sehingga Mac ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, daripada jumlah itu, 305 sindiket ditumpaskan pada tahun lalu hasil tindakan agresif JSJN yang berjaya menahan 1,204 individu.

Menurutnya, pada tahun ini setakat Mac, pihaknya telah menumpaskan 89 sindiket dengan tangkapan seramai 333 individu.

"Selain itu, dalam tempoh tiga bulan tahun ini, JSJN turut merekodkan 26,823 kes dengan 32,301 orang telah ditangkap di bawah kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

"Bagi tahun 2020 pula, sebanyak 121,828 kes direkodkan dengan tangkapan 146,045 orang atas pelbagai kesalahan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mendedahkan lebih lanjut, tangkapan setakat Mac pada tahun ini, Razarudin berkata, bagi usia 41 tahun dan ke atas mencatatkan 7,630 individu, diikuti usia 35 hingga 40 tahun (6,391), 30 hingga 34 tahun (5,828), 25 hingga 29 tahun (26,477) dan selebihnya di bawah usia 24 tahun.

Katanya, sepanjang tahun lalu pula menunjukkan tangkapan tertinggi seramai 31,944 orang adalah individu berusia 41 tahun dan ke atas diikuti 19 hingga 24 tahun (27,191), 35 hingga 40 tahun (27,110) serta 25 hingga 29 tahun (26,477).

Dalam pada itu, bagi tempoh tahun ini hingga 24 April, beliau berkata, JSJN telah merampas pelbagai jenis dadah seberat 12,391 kilogram (kg), 4,088 liter cecair dadah, 90,375 kg daun ketum serta 17,122 liter air ketum dengan nilai keseluruhan RM343.58 juta.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang tahun lalu, polis berjaya merampas 14,186 kilogram pelbagai jenis dadah, 17,741 liter cecair dadah, 291,270 kg daun ketum dan 75,523 liter air ketum bernilai keseluruhan RM 454.9 juta," katanya.

Tegasnya, JSJN akan terus berusaha mengesan saki-baki ahli sindiket yang terlibat untuk diheret ke muka pengadilan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!