Sentuhan khas kayu pengacau bubur lambuk Istana Johor
JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan menggunakan kayu pengacau khas bagi menyediakan bubur lambuk untuk diedarkan kepada rakyat pada Rabu.
Sultan Ibrahim bertitah, acara masakan bubur lambuk Istana Johor kali ini menampilkan kelainan apabila sebuah kayu pengacau khas akan digunakan dalam penyediaan juadah berkenaan.
Titah baginda, pengacau berkenaan yang diperbuat daripada kayu giam dan turut dilengkapi hiasan ‘epoxy resin’ khas logo Sultan Ibrahim tahun 2021 dibuat oleh tukang kayu peribadi baginda di Mersing.
"Pengacau ini disediakan oleh tukang kayu saya dari Mersing dan esok (Rabu) saya akan menggunakannya ketika memasak bubur lambuk," titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office pada Selasa.
Hantaran dan gambar itu turut dimuat naik dalam laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!