Rumah hangus, Aidilfitri tujuh beranak suram

Muhammad Sanusi (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Nik Mohd Fairus Nik Man ketika melawat PPR Harmoni Paya Nahu II pada Ahad.
Muhammad Sanusi (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Nik Mohd Fairus Nik Man ketika melawat PPR Harmoni Paya Nahu II pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sambutan Aidilfitri bagi tujuh beranak tahun ini suram apabila rumah mereka di tingkat empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Harmoni Paya Nahu II terbakar pada Khamis lalu.

Rosnani Muaing, 35, berkata, akibat kebakaran itu keseluruhan perkakasan rumah, pakaian, peralatan elektrik dan kelengkapan lain termasuk baju sekolah anak-anaknya musnah sekelip mata.

"Kami sekeluarga belum memikirkan keperluan hari raya memandangkan seluruh perkakasan rumah musnah terbakar.

"Kami sekeluarga kini bergantung kepada sumbangan pelbagai pihak yang prihatin menyalurkan bantuan sejak kejadian berlaku Khamis lalu," katanya.

Rosnani berkata, semasa kejadian kebakaran itu, dia bersama suaminya, Nik Mohd Fairus Nik Man, 36, baru keluar rumah bagi menghantar pesanan makanan berbuka puasa kepada pelanggan kira-kira jam 5.30 petang.

"Tak sampai beberapa minit, dapat panggilan mengenai kejadian itu. Mula-mula rasa macam tak percaya sebab masih ada dekat Taman Ria Jaya, tetapi bila patah balik tengok, habis satu rumah terbakar," katanya.

Muhammad Sanusi (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Nik Mohd Fairus Nik Man ketika melawat PPR Harmoni Paya Nahu II pada Ahad.
Muhammad Sanusi (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Nik Mohd Fairus Nik Man ketika melawat PPR Harmoni Paya Nahu II pada Ahad.

Rosnani berkata, dia bersyukur ketika kejadian lima anaknya yang berusia antara dua hingga 15 tahun sedang bermain di tingkat bawah rumah dan tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Harmoni Paya Nahu 2, Sabri Man berkata, pasangan itu yang berniaga makanan secara kecil-kecilan dibenarkan tinggal di sebuah rumah kosong terletak berhadapan dengan rumah mereka untuk berteduh buat sementara waktu.

"Kerja-kerja pendawaian elektrik di rumah kosong diuruskan Penaung Team Ikhlas, Natipah Abu selain turut menyumbang sejumlah wang yang digunakan untuk perbelanjaan dan barangan keperluan harian," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor turut meluangkan masa menziarahi keluarga itu dan menyerahkan sumbangan wang tunai bagi meringankan beban mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurut Muhammad Sanusi, setiap penghuni perlu memastikan pendaftaran masuk dibuat secara sah, pendawaian elektrik dipasang secara sistematik, melakukan penyelenggaraan dengan baik selain memastikan kebersihan terjaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Saya berharap keluarga ini bersabar dengan ujian Ramadan yang menimpa di kala kita semua sedang berpuasa," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank Rosnani bernombor 15205-0104-788.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!