Ikan Yu kemejan boleh dimakan, tidak boleh dieksport
KUALA TERENGGANU -[DIKEMAS KINI] Ikan yu kemejan atau digelar yu perejang oleh masyarakat Terengganu tidak tergolong dalam spesies hidupan marin yang dilindungi dan boleh dimakan, namun tidak dibenarkan untuk dieksport ke negara luar.
Pegawai Khas Ketua Pengarah Perikanan (KPP), Zawawi Ali berkata, terdapat beberapa jenis ikan direkodkan sebagai ikan yang digelar guitarfish itu kerana bentuknya seakan gitar serta bahagian ekor menyerupai ikan yu manakala bahagian badan mirip ikan pari serta mempunyai muncung yang tirus.
"Spesies ikan ini boleh dimakan oleh masyarakat di negara ini kerana tidak tergolong dalam kategori hidupan marin yang dilindungi. Namun ikan-ikan ini tidak boleh dibawa keluar untuk dieksport.
"Bagaimanapun, terdapat spesies ikan daripada kumpulan ini iaitu ikan yu shark ray atau turut digelar bowmouth guitarfish di mana muncung serta bahagian dadanya lebar seperti ikan pari tidak boleh dimakan kerana tergolong dalam spesies hidupan marin yang terancam," katanya.
Dalam pada itu, katanya, selain ikan yu shark ray terdapat enam spesies ikan yu dan dan pari disenaraikan sebagai spesies dilindungi iaitu ikan yu sirip putih besar atau nama saintifiknya, Carcharhinus longimanus; yu tukul (Sphyrna zygaena); yu tukul parang (Sphyrna mokarran); yu tukul palang (Eusphyra blochii) dan dua spesies pari iaitu pari tanduk (Mobula birostris dan Mobula alfredi).
Katanya, spesies hidupan tersebut dilindungi mengikut Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan yang Terancam) 1999 dan Akta Perikanan 1985 bertujuan mengelak kepupusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!