Gembira terima sumbangan daripada Agong
KUANTAN - Seorang warga emas terharu dan gembira apabila menerima sumbangan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Masjid Kampung Cherok Paloh, pada petang Selasa.
Rohani Mamat, 61 berkata, dia tidak menyangka akan bertemu dengan Al-Sultan Abdullah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah, sekali gus menerima bungkusan berupa bekalan makanan harian dan wang tunai.
"Ini kali pertama makcik jumpa baginda, terasa teruja sangat-sangat bila menerima sumbangan daripada baginda.
"Makcik ini orang susah, bila dapat sumbangan begini makcik bersyukur sangat kerana sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban ditanggung," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya Program Santuni Kasih dan Kurniaan daerah Kuantan di Kampung Cherok Paloh pada Selasa.
Al-Sultan Abdullah bersama Tengku Hassanal berkenan mengurniakan sumbangan kepada 156 penduduk di tiga kampung di sini.
Antara kampung yang menerima kunjungan Seri Paduka Baginda ialah Kampung Sepat, Kampung Kuala Penor dan Kampung Cherok Paloh.
Seorang lagi penerima, Hussin Abdullah, 66 yang mengalami penyakit angin ahmar empat tahun lalu teruja kerana pertama kali dapat berjumpa Al-Sultan Abdullah.
Katanya, tiada kata-kata yang dapat diungkapkan dan hanya mampu menzahirkan rasa terima kasih kepada baginda.
"Sumbangan yang diberikan baginda akan saya gunakan untuk membeli kelengkapan hari raya," katanya.
Bagi Salamah Mohd Shah, 66 pula mengakui masih terkejut apabila menerima sumbangan dan wang tunai daripada baginda.
"Makcik tidak pernah terlintas dapat berjumpa baginda.. terus terang cakap makcik gembira kerana dapat bercakap dengannya," katanya yang gembira menerima sumbangan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!