30 peniaga ingkar dikompaun
KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengeluarkan kompaun terhadap 30 peniaga kerana didapati telah melakukan pelbagai kesalahan.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, daripada jumlah itu 13 peniaga dikompaun kerana gagal meletakkan tanda harga dan 10 lagi menggunakan alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan.
"Selain itu, kita turut mengeluarkan enam kompaun kerana peniaga gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu manakala seorang lagi peniaga dikompaun kerana menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ditetapkan.
"Sebelum tindakan kompaun ini diambil, teguran dan amaran telah diberikan terlebih dahulu kepada para peniaga, namun masih ada yang ingkar dalam mematuhi penetapan harga maksimum," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut Saharuddin berkata, kompaun keseluruhan sebanyak RM3,150 itu dikeluarkan dalam tempoh enam hari pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 bermula 21 April lalu.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya telah memeriksa 453 premis di seluruh Terengganu bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.
Sehubungan itu katanya, para peniaga diingatkan supaya beretika dalam menguruskan perniagaan dan tidak melanggar peraturan.
"Bagi penternak, pengeluar, pemborong dan peruncit pula, kita berharap mereka mematuhi penetapan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 dan tidak menaikkan harga secara mendadak selepas berakhirnya pelaksanaan skim ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!