Stor simpan LPG haram diserbu KPDNHEP
BALING - Sebanyak 140 tong gas petroleum cecair (LPG) yang disimpan secara haram dan dua buah lori dengan nilai keseluruhan RM203,455.40 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Ketua Cawangan Pejabat KPDNHEP Baling, Adzrin Mohd Radzi berkata, serbuan dilakukan di sebuah premis yang dijadikan stor disyaki beroperasi tanpa lesen di Kuala Pegang di sini pada 2 petang Isnin.
Beliau berkata, kesemua rampasan termasuk 140 tong LPG bernilai RM13,455.40 itu disita untuk tindakan lanjut, selain seorang pekerja lelaki berusia 45 tahun turut disiasat.
"Siasatan lanjut dan hasil soal siasat mendapati stor tersebut dijadikan sebagai tempat transit bekalan LPG dari pembekal untuk edaran di kawasan daerah Baling serta tidak mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan gas LPG di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya di sini pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan lanjut akan dibuat bagi mengesan pembekal LPG tersebut.
"Selain itu, skop siasatan juga akan melihat sekiranya wujud aspek penyelewengan lain," katanya.
Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!