Puasa latih umat Islam jadi orang bertaqwa
SHAH ALAM - Perintah melakukan ibadah puasa dalam bulan Ramadan bertujuan untuk melatih umat Islam untuk menjadi individu yang bertakwa kepada ALLAH.
Pengasas dan Pengerusi Pertubuhan Ghulam Al Dakwah, Abd Muein Abd Rahman berkata, untuk mencapai perkara tersebut, sangat penting untuk umat Islam mengetahui dengan jelas mengenai sifat orang bertakwa yang telah disebutkan di dalam al-Quran.
Menurutnya, hanya dengan pengetahuan mengenai ciri-ciri orang bertakwa, umat Islam dapat menilai diri mereka, seterusnya menetapkan sasaran yang mahu dicapai hasil daripada ibadah puasa yang dilaksanakan.
“Kalau kamu berpuasa untuk jadi orang bertakwa, kena periksa adakah kamu memiliki sifat-sifat ini. Pertama, adakah kamu beriman dengan kesemua rukun iman.
“Kedua, orang bertaqwa ialah mereka yang memberi harta disukainya kepada orang lain. Orang bertaqwa dan beriman itu adalah mereka yang memberi rahmat kepada orang lain khususnya golongan memerlukan.
“Seterusnya, orang bertaqwa ialah mereka yang mendirikan solat dengan betul di samping menunaikan zakat. Dan terakhir, orang bertaqwa itu memiliki akhlak tinggi dan menepati janji,” katanya dalam program Wacana al-Quran siri ke-121 bertajuk 'Tarbiyah Ramadhan: Kenapa 30 Hari' disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis pada program berkenaan ialah Pengarah Pusat Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj @ Ramli.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator, manakala qari jemputan, Amirahman Abas pula memperdengarkan bacaan surah al-Baqarah ayat 188 hingga 184.
Sementara itu, Harlina berkata, ibadah puasa merupakan sebuah latihan kepada umat Islam untuk menjadi seorang yang bertaqwa dan secara tidak langsung melatih diri menjadi lebih profesional dalam pekerjaan mereka.
“Ini kerana orang yang profesional ini mesti ada tiga perkara. Pertama ialah kebolehan untuk muhasabah diri. Dengan muhasabah diri, kita akan melihat kekuatan dan kelemahan diri.
“Daripada kekuatan diri, seseorang yang profesional itu akan mengamalkan kawalan kendiri. Daripada kelemahan yang didapatinya, ia akan membuat pembetulan diri atau apa yang dipanggil ‘self-correction'.
“Ketiga-tiga perkara itu melibatkan proses kawalan kendiri. Itulah yang sebenarnya puasa ini cuba terapkan kepada umat Islam,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!