Polis nafi bertindak tidak adil keluar kompaun

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menafikan dakwaan bertindak secara tidak adil dalam mengeluarkan kompaun terhadap seorang wanita kerana tidak mengimbas kod QR MySejahtera ketika menaiki bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Annas Sulaiman berkata, pihaknya mendapati wanita berusia 20-an itu tidak mengimbas kod QR MySejahtera ketika hendak menaiki bas walaupun telah dinasihatkan oleh pemandu bas berkenaan.

"Wanita itu hanya membuat imbasan Kod QR MySejahtera ketika di perhentian TBS dan tidak mengimbas kod QR MySejahtera semasa menaiki bas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Annas berkata, pihaknya telah mengeluarkan kompaun kepada wanita itu setelah membuat pemeriksaan di dalam bas tersebut.

"Kita turut melakukan pemeriksaan terhadap penumpang lain dan mendapati kesemua mereka telah mengimbas kod QR MySejahtera.

"Wanita itu dikenakan kompaun kerana telah melanggar SOP Pengangkutan Awam yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara pada 13 Januari lalu," katanya.

Dalam pada itu, Annas turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara.

"Semua individu seharusnya memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha memerangi penularan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!