Tindakan tegas, kompaun untuk kawal penularan Covid-19: PM

Muhyiddin (tengah) menyampaikan replika cek sumbangan Program Iftar Masjid dan Surau DUN Gambir di Masjid Jamek Simpang Lima Darat di sini pada Selasa.
Muhyiddin (tengah) menyampaikan replika cek sumbangan Program Iftar Masjid dan Surau DUN Gambir di Masjid Jamek Simpang Lima Darat di sini pada Selasa.
A
A
A

TANGKAK - Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengawal keadaan dengan menguatkuasakan undang-undang bagi membendung penularan Covid-19 termasuk mengeluarkan kompaun.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu dilaksanakan berikutan penularan Covid-19 masih berlaku disebabkan faktor ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Antara faktor penularan Covid-19 masih berlaku ialah ketidakpatuhan kepada SOP dan kerajaan ada tanggungjawab untuk mengawal keadaan dengan menguatkuasakan undang-undang.

"Tetapi kerajaan mungkin tidak mampu uruskan hal ini 100 peratus kerana ia berbalik kepada rakyat untuk uruskan hal masing-masing dengan mematuhi SOP dan peraturan ditetapkan agar tidak dijangkiti Covid-19," katanya ketika berucap pada Majlis Sumbangan Ramadan DUN Gambir di Masjid Jamek simpang Lima Darat, Bukit Gambir di sini pada Selasa.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Tosrin Jarvanthi dan Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jalam.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan kerajaan perlu mengambil tindakan dengan lebih tegas bagi memastikan perkara ini tidak berulang yang dibimbangi akan meningkatkan lagi kes jangkitan Covid-19.

"Justeru saya ingin merayu kepada rakyat untuk sama-sama bertanggungjawab dalam mengatasi masalah ini dengan mengikut arahan yang dikeluarkan MKN terutama di kawasan-kawasan yang mempunyai ramai orang.

"Sekiranya tidak dapat dikawal dan tiada penguatkuasaan undang-undang diambil terhadap mereka yang langgar SOP ini, kita bimbang Covid-19 mungkin tidak dapat dibendung dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!