Kerajaan perlu tambah dana pemulihan penagih dadah
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu meningkatkan peruntukan dana bagi pembiayaan pemulihan dan rawatan penagihan dadah di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, dana lebih berpatutan seharusnya diberikan kepada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam usaha tersebut.
“Saya berpendapat kerajaan perlu menambah peruntukan yang diberikan kepada pihak seperti Rumah Pengasih Malaysia (Pengasih) dan NGO lain kerana jumlah sedia ada memang tidak cukup.
"Soal peruntukan antara yang saya sudah bincangkan dengan menteri kerana masalah ini perlu perhatian banyak pihak,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama Pengasih di sini pada Selasa.
Hadir sama, Presiden Pengasih, Ramli Abdul Samad dan penyanyi tanah air, Datuk Jamal Abdillah.
Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, stigma negatif masyarakat terhadap bekas penagih dan isu berkenaan penagihan dadah juga perlu diubah.
Menurutnya, masalah penagihan dadah perlu dilihat bukan sebagai satu jenayah, sebaliknya satu penyakit yang memerlukan rawatan serta pemulihan.
"Isu stigma kepada bekas penagih ini juga perlu diubah. Masyarakat perlu memainkan peranan. Jangan seorang saja penagih, tapi riuh sekampung, sedangkan isu itu tidak selesai juga," ujarnya.
Pada masa sama, Dr Noor Azmi berkata, beliau sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM70,000 bagi program berkaitan pemulihan penagih dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!