MV Mega Bakti fokus cari bukti tambahan milik KRI Nanggala
LUMUT - Kapal penyelamat kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Mega Bakti sedang memfokuskan operasi mencari bukti tambahan milik kapal selam Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI) yang hilang sejak Rabu lepas di perairan utara Bali.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, MV Mega Bakti bersedia menggunakan semua keupayaan terdapat pada kapal berkenaan dalam operasi pencarian kapal selam itu termasuk penggunaan peralatan Intervention Remotely Operated Vehicles (IROV) di lokasi terlibat.
“Buat masa ini, MV Mega Bakti melaksanakan rondaan di sekitar kawasan posisi KRI Nanggala tenggelam bagi membantu usaha mencari bahan-bahan bukti tambahan yang terapung di permukaan.
“Penugasan MV Mega Bakti seterusnya adalah bergantung kepada pihak TNI,” katanya dalam sidang akhbar di pusat latihan Kapal Diraja (KD) Pelandok selepas merasmikan Perbarisan Hari TLDM ke-87 di Padang Kawad KD Pelandok di sini pada Selasa.
Istiadat perbarisan bermula 5 petang diketuai Komander Salleh Sauli dan dibantu Komander Ahmad Zaini Abdul Ghani serta Pegawai Waran I Mohd Fauzee Abu.
Perbarisan berkenaan membabitkan sembilan kontinjen yang dibahagikan kepada tiga divisyen terdiri daripada 28 pegawai dan 478 anggota lain-lain pangkat.
Operasi kapal MV Mega Bakti itu diketuai Komander TLDM, Mohd Hairul Fahmy Yob bersama 54 kru terdiri daripada 10 pegawai dan staf perubatan Angkatan Tentera Malaysia dan 44 kru MV Mega Bakti.
KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada 4.25 pagi Rabu ketika dalam misi latihan penembakan torpedo yang turut disertai 21 kapal TNI, lima pesawat tempur dan satu lagi kapal selam yang lain.
Kesemua 53 kru kapal selam Indonesia, KRI Nanggala 402 yang dilaporkan hilang dan tenggelam itu disahkan meninggal dunia.
Mohd Reza berkata, beliau sentiasa berhubung dengan MV Mega Bakti yang tiba di lokasi pencarian pada 12 tengah hari Ahad lepas bagi mengetahui situasi terkini di lapangan.
“Kedalaman lokasi akhir KRI Nanggala iaitu pada kedalaman 839 meter adalah jauh melebihi kemampuan IROV MV Mega Bakti iaitu 650 meter sahaja. Namun begitu, pasukan Carilamat TLDM telah berusaha mengoperasikan IROV untuk mendapatkan bukti tambahan.
“Kita sentiasa berhubung (dengan MV Mega Bakti), saya tahu apa yang berlaku di lapangan dan koordinasi Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di peringkat TLDM dikoordinasikan oleh Panglima Angkatan Kapal Selam Laksamana Pertama Mohd Razib Tahir,” katanya yang turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga kru kapal selam berkenaan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Hari TLDM, Mohd Reza berkata, tema ‘TLDM Siaga Kedaulatan Terpelihara’ bagi sambutan Hari TLDM Ke- 87 adalah selari dengan empat teras hala tuju kepimpinan TLDM yang membawa maksud fokus TLDM dalam menentukan tahap kesiagaan tertinggi bagi mencapai misi iaitu Melindungi Kedaulatan, Integriti Wilayah dan Kepentingan Maritim Negara.
"Kami berharap tema Hari TLDM pada tahun ini dapat dihayati sedalam-dalamnya setiap warga the Navy People dan seterusnya membakar semangat mereka untuk mencapai objektif yang telah disasarkan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!