Program wakaf Felda kutip RM10 juta: Idris Jusoh
TAMPIN - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengutip RM10 juta hasil sumbangan daripada peneroka dan warga Felda di seluruh negara menerusi program wakaf Felda.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, konsep program yang dilaksanakan dapat memupuk budaya bersedekah dalam kalangan warga Felda selain sebagai tanda kesyukuran serta keberkatan sepanjang bulan Ramadan ini.
Katanya, setiap peneroka menyumbang RM300 seorang dan hasil sumbangan ini diserahkan kepada Majlis Agama Islam di negeri masing-masing.
"Setakat ini kita sudah mengutip hampir RM10 juta. Negeri Sembilan sahaja, sebanyak RM600,000 telah disumbangkan oleh peneroka di Wilayah Raja Alias kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menerusi dua fasa penyerahan,” katanya kepada pemberita selepas program Ihya Ramadan Felda Wilayah Raja Alias di Felda Jelai 3 dekat sini pada Selasa.
Beliau berkata, setakat ini kutipan di Johor mencecah RM3 juta dan Pahang RM2 juta. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!