Sabotaj kerajaan: RTM diarah sedia laporan
GEORGETOWN- Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengarahkan stesen penyiaran kerajaan, RTM menyediakan laporan berhubung dakwaan cubaan stesen penyiaran itu mensabotaj kerajaan Persekutuan.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, beliau akan melihat perkara itu terlebih dahulu sebelum membuat ulasan lanjut.
Menurutnya, isu itu diperkatakan malam tadi dan beliau hanya mengetahuinya pagi ini.
"Ia dibangkitkan malam tadi dan saya melihat siaran itu pagi ini sebelum ke lapangan terbang. Sehubungan itu, saya telah meminta RTM membuat laporan dan menyerahkan kepada untuk saya perhalusi.
"Selepas itu, baru saya akan bertindak apa yang perlu," katanya kepada media tadi selepas melancarkan Terragraf bagi Komunikasi dan Facebook YTL bagi pasaran pertama di Asia tadi.
Beliau berkata, pihaknya juga meminta RTM untuk menyenaraikan prosedur operasi standardnya (SOP) dalam penyiaran acara atau program secara langsung.
"Dalam laporan itu juga, saya meminta agar SOP penyiaran acara siaran langsung bagi RTM juga disenaraikan untuk saya tahu mengenai butirannya.
"Selepas melihat semua butiran yang dilaporkan, baru saya boleh komen," katanya.
Terdahulu, pembantu kepada Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan mempersoalkan kemungkinan RTM mensabotaj kerajaan Persekutuan apabila tidak menyiarkan laporan mengenai menterinya, Anthony Loke.
Katanya melalui satu kenyataan, selain Loke, RTM juga tidak melaporkan sebarang berita mengenai Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sempena sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan yang diadakan di Seremban malam tadi.
Tambahnya, surat aduan akan dihantar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia yang bertanggungjawab ke atas stesen penyiaran berkenaan.
Sambutan rumah terbuka itu diadakan di Dataran Sentrio, Seremban dan dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Ia turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta anggota Kabinet.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!