PKPB: Sabah kekalkan kebenaran rentas daerah ikut zon

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah mengekalkan kebenaran rentas daerah mengikut enam zon ditetapkan walaupun negeri ini bertukar status daripada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Selasa.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata, sehubungan itu penduduk negeri ini hanya dibenarkan merentas daerah dalam zon yang telah ditetapkan sebelum ini.

Zon Satu -- Daerah Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar

Zon Dua -- Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang

Zon Tiga -- Kudat, Kota Marudu dan Pitas

Zon Empat -- Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod

Zon Lima -- Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan

Zon Enam -- Keningau, Tambunan dan Tenom.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan mengekalkan prosedur operasi standard sedia ada itu juga bagi mempercepat pemulihan sektor ekonomi selagi mana ia tidak menghalang usaha membanteras penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam Selasa.

Majlis Keselamatan Negara pada Selasa mengisytiharkan Sabah ditukar status kepada PKPB berkuat kuasa Khamis ini hingga 17 Mei depan berikutan peningkatan zon merah di negeri ini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkenaan Covid-19 berkata, sebanyak 82 kes baharu positif dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 57,829, manakala jumlah pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital seramai 140 orang menjadikan jumlah kumulatif 56,305 orang.

Beliau berkata, lapan daerah di Sabah berada dalam Zon Merah iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Kunak, Sandakan, Papar, Putatan dan Kinabatangan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!