KBS tumpu kemudahan sukan untuk waktu malam

Syed Saddiq (duduk, kiri) dan Ahmad Samsuri melihat dari dekat keadaan Padang Sintetik Stadium Mak Chili pada majlis penyerahan padang itu oleh KBS kepada MPK lewat petang semalam.
Syed Saddiq (duduk, kiri) dan Ahmad Samsuri melihat dari dekat keadaan Padang Sintetik Stadium Mak Chili pada majlis penyerahan padang itu oleh KBS kepada MPK lewat petang semalam.
A
A
A

KEMAMAN - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan semua kemudahan sukan di negara ini bukan sahaja dapat digunakan pada waktu siang tetapi boleh juga digunakan pada waktu malam terutama di kawasan berisiko tinggi berlakunya gejala sosial.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, untuk itu kemudahan sukan sedia ada juga akan dinaik taraf agar boleh digunakan pada waktu malam.

Beliau berkata, langkah itu dibuat kerana didapati ramai anak muda menggunapakai infrastruktur sukan itu ada waktu berkenaan.

Katanya, golongan muda menggunakan kemudahan itu selepas pulang bekerja dan balik dari sekolah.

"Pengagihan pembangunan sukan dilakukan secara adil dan memberi fokus di luar bandar dan juga di kawasan berisiko tinggi berlakunya gejala sosial.

"Saya nak pastikan kemudahan sukan dapat digunapakai pada waktu malam untuk elakkan masalah sosial itu dari terus berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Padang Sintetik Stadium Mini Mak Chili kepada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di sini, semalam.

Pada majlis itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar menyerahkan padang itu secara rasmi kepada Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili MPK.

Artikel Berkaitan:

Syed Saddiq berkata, bagi membolehkan padang sintetik itu digunakan pada waktu malam dengan selesa, beberapa buah lampu limpah lagi akan dipasang di padang itu selain ia akan dilengkapi beberapa lagi kelengkapan lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!